Talasemia merupakan penyakit yang menghalang badan penghidapnya daripada menghasilkan darah yang sihat dan mencukupi. Ia disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin (protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan).
Penyakit ini adalah penyakit yang diwarisi daripada ibu atau bapa, atau kedua-duanya kepada anak melalui genetik. Ia tidak boleh dijangkiti melalui pemindahan darah, udara dan air atau melalui sentuhan fizikal dan juga hubungan seksual.
Tanda awal Talasemia pada kanak-kanak
- Bayi kelihatan semakin pucat apabila usia meningkat antara 6 hingga 18 bulan
- Kekurangan darah (anemia) yang teruk yang boleh menyebabkan sesak nafas
- Kulit kelihatan kekuningan (jaundice)
- Kurang selera makan, sentiasa letih dan gelisah
- Kembung perut disebabkan bengkak hati dan limpa
- Perubahan pada bentuk tulang muka
Kesan Talasemia kepada penghidap jika tidak dirawat
Jika penyakit ini tidak dikenalpasti dan dirawat lebih awal, penghidap Talasemia boleh mengalami semua gejala yang dijelaskan di atas dan boleh membawa maut.
Di samping itu, penghidap Talasemia juga berkemungkinan menghadapi kesan sampingan daripada rawatan pemindahan darah yang dijalani iaitu lebihan zat besi. Pesakit Talasemia yang menjalani rawatan pemindahan darah akan menyebabkan pengumpulan zat besi dalam jangka masa panjang terutama pada bahagian hati, jantung, kelenjar dan endokrin yang menghasilkan hormon.
Keadaan ini boleh menyebabkan kelewatan tumbesaran dan kematangan seksual. Bagaimanapun, ia boleh dielakkan dengan pengambilan zat besi chelation secara berkala.
Walaupun Talasemia meruoakan penyakit yang boleh membawa maut, ia boleh dielakkan dengan pengesanan awal pembawa dan juga elakkan perkahwinan antara pembawa Talasemia.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia